Dalam dunia yang dilingkari arus kemodenan ini, tidak
dapat dinafikan bahawa masalah sosial turut menghambat masyarakat , secara
tidak langsung wujudlah kes pembuangan bayi yang kian meningkat saban hari. Hal
ini merupakan satu pembaziran terhadap sumber manusia atau sumber tenaga kerja
bagi membangunkan negara kita. Oleh hal yang demikian, masalah ini menyebabkan
dasar kependudukan yang diutarakan poleh Mantan Perdana Menteri yang ke-4 iaitu Tun Dr.Mahathir bin Muhammad tidak kesampaian bagi mencapai jumlah penduduk
optimum menjelang 2020. Kes pembuangan bayi umpama penyakit barah
yang perlu diatasi dengan segera. Bagi mengatasi masalah ini, pemangkin atau
faktor permasalahan yang merobek nilai-nilai kemanusian ini perlu dikaji dengan
teliti hingga ke akar umbinya. Kita juga tidak dapat menafikan bahawa, terdapat
banyak faktor yang menjadi punca masalah
pembuangan bayi.
Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa kepincangan keluarga adalah faktor atau pemangkin utama permasalahan ini. Sesebuah keluarga yang berantakan dan berpecah belah akan menyebabkan anak-anak dalam keluarga tersebut mencari jalan alternatif bagi melupakan masalah yang dihadapi . Anak-anak tersebut akan terlibat dalam kegiatan-kegiatan seperti pergaulan bebas. Hal ini dikatakan demikian kerana rakan-rakan merupakan insan yang memahami diri mereka dan mereka mempercayai rakan-rakan mereka melebihi ahli keluarga sendiri. Hal ini memungkinkan hubungan seks diluar nikah terjadi. Setelah berlakunya keterlanjuran, jalan mudah yang akan diambil ialah membuang bayi yang tidak berdosa tersebut sekaligus menolak nilai kemanusiaan yang terdapat dalam diri mereka.
Faktor lain yang menjadi pemangkin kepada permasalahan ini ialah faktor individu yang kurang penghayatan terhadap amalan dan nilai-nilai keagamaan. Seseorang yang berpegang teguh kepada rukun-rukun agama tidak akan berani ingkar atau melanggar hukum agama dan sesungguhnya tidak ada agama di dalam dunia yang merelakan umatnya melakukan maksiat dan dosa. Seseorang yang terlibat dalam kes pembuangan bayi ini, tergolong dalam golongan manusia yang kurang pengetahuan tentang keagamaan. Sekiranya seseorang itu sedar dan berpegang teguh kepada ajaran agama maka, tidak akan timbullah masalah pembuangan bayi ini.
Sudah terang lagi bersuluh, ternyata bahawa peranan media massa juga menjadi faktor permasalahan ini. Kebanyakan siaran di rangkaian televisyen bersetelit tidak ditapis sepenuhnya oleh oleh pihak berkenaan. Budaya-budaya negatif dari barat dipaparkan dan diserap sepenuhnya oleh golongan remaja di negara kita akibat terpengaruh dengan siaran-siaran yang di tonton di televisyen seperti unsur-unsur seks yang dipaparkan, golongan remaja akan mudah terpengaruh untuk melakukan seks di luar nikah. Apabila telah berlaku keterlanjuaran, jalan penyelesaian yang diambil ialah membuang bayi tersebut bagi menjaga maruah diri sedangkan maruah diri remaja itu sudah ternodai atau tercalar.
Remaja adalah golongan yang dikategorikan sebagai golongan yang mempunyai daya inkuiri yang tinggi. Semangat inkuiri yang tinggi ini menyebabkan rasa ingin tahu dan mencuba sesuatu sama ada baik mahupun buruk menebal dalam diri remaja. Sebagai contoh, pasangan remaja yang sedang hangat bercinta akan cenderung ingin mencuba perkara yang dilakukan orang yang sudah berumah tangga lakukan, tanpa berfikir akan kesannya. Apabila nasi sudah menjadi bubur, biasanya golongan remaja ini akan lari dari tanggungjawab dan jalan yang terbaik bagi mereka untuk lari dari tanggungjawab ialah dengan membuang bayi tersebut.
Selain itu, punca masalah pembuangan bayi ini juga ialah aktiviti pelacuran. Golongan yang terlibat dalam aktiviti ini bertujuan untuk mendapatkan wang dengan masa yang singkat dan lumayan. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan ini terdesak untuk memperolehi wang bagi menampung perbelanjaan yang melebihi kemampuan. Tambahan lagi, jika tinggal di kawasan bandar yang sememangnya memerlukan kos sara diri yang tinggi. Hal ini akan menyebabkan golongan ini terlibat dalam masalah pembuangan bayi. Mereka malu hendak memelihara bayi tersebut kerana bayi itu hasil daripada kegiatan pelacuran dan tanpa ikatan yang sah. Bagi menutup malu mereka, bayi tersebut dibuang tanpa sifat belas kasihan.
No comments:
Post a Comment