Wednesday 29 October 2014

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PENGGUNAAN TELEFON MUDAH ALIH DALAM KALANGAN REMAJA

Kini, telefon pintar dianggap sebagai satu trend gaya hidup para remaja, tidak kira sama ada dari golongan atasan atau kelas pertengahan. Tidak dinafikan bahawa gajet atau telefon pintar ini telah  mempengaruhi cara masyarakat mengendalikan urusan seharian mereka. Namun, adakah penggunaan telefon bimbit ini memberikan kesan yang baik kepada masyarakat terutamanya golongan remaja ?

Antara kebaikan telefon pintar ialah gajet ini boleh dijadikan sebagai alat perhubungan. Sebagai contoh, telefon pintar membolehkan ahli keluarga yang berjauhan berhubung antara satu sama lain untuk bertanya khabar berita dan secara tidak langsung hubungan silaturrahim antara ahli keluarga dapat diperkukuhkan lagi. Tambahan pula, kita juga boleh menggunakan telefon pintar ini untuk bertanyakan hal-hal yang berkaitan pelajaran. Misalnya,rakan-rakan rapat boleh di hubungi dengan segera walaupun kita tidak dapat berada di dalam kelas. Secara tidak langsung,semua perkara penting yang di sampaikan oleh para guru dan pensyarah dapat di ketahui dengan cepat dan mudah serta hubungan dengan rakan-rakan juga akan menjadi erat dan bertambah mesra.

Selain itu, telefon pintar juga boleh dijadikan sebagai alat untuk melayari internet. Pada masa kini, penggunaan internet amat penting kepada para pelajar bagi membuat kajian atau menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah atau guru masing-masing. Oleh itu, dengan kemajuan dan kecanggihan telefon pintar ini, golongan remaja boleh melayari internet dengan menggunakan gajet mereka di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, malah sesuatu maklumat yang diperlukan  boleh di akses dengan cepat dan mudah.

Telefon pintar juga boleh dijadikan sebagai alat hiburan untuk merehatkan minda. Dengan memiliki telefon pintar, kita dapat mendengar lagu dan menonton video kegemaran pada bila-bila masa dengan cara memuat turun video kegemaran di laman sesawang dengan pantas. Gajet ini juga mempunyai pelbagai aplikasi permainann yang mengikut gaya masa kini. Aplikasi permainan ini amat disukai oleh golongan remaja bagi mengisi masa lapang mereka atau selepas menyiapkan tugasan mereka.

Walaupun, telefon mudah alih ini memberi kebaikan kepada penggunanya, namun keburukannya tetap wujud apabila berlaku penyalahgunaan teknologi ini. Antara keburukan telefon pintar ialah gajet telefon pintar ini boleh mengganggu pelajaran malah akan memberi peluang kepada remaja untuk mengakses laman pornografi dan menyebabkan berlakunya aktiviti-aktiviti sumbang dalam kalangan remaja serta membawa kesan atau implikasi yang negatif kepada masyarakat sekeliling. Tambahan pula penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar akan mendatangkan pembaziran wang kerana terpaksa untuk menambah nilai kos kredit yang tinggi pada setiap bulan yang sepatutnya boleh digunakan  untuk perkara yang lebih berfaedah.

 Selain itu, aplikasi hiburan yang disediakan dalam gajet telefon pintar ini boleh mendatangkan impak yang negatif sekiranya golongan remaja terlalu taksub. Hal ini boleh dilihat apabila ramai di kalangan remaja sering mengabaikan pelajaran dan kurang mengulang kaji pelajaran mereka kerana terlalu fokus kepada alat teknologi ini. Sebagai contoh, mereka lebih memilih untuk melayari laman sesawang pada setiap masa seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya daripada melakukan perkara yang lebih berfaedah untuk diri dan masa depan mereka.

Kesimpulannya, penggunaan telefon pintar dalam kalangan remaja memberikan seribu satu faedah kepada sesiapa sahaja yang menggunakannya, tetapi sebagai pengguna kita perlu bijak menggunakan gajet atau alat yang dicipta dalam dunia serba canggih ini dengan cara yang betul. Jika tidak di gunakan untuk kebaikan, perkara ini mampu merosakkan masa depan dan fikiran remaja itu sendiri. Sewajarnya, golongan remaja yang merupakan tonggak negara pada masa hadapan lebih bijak dalam memikirkan pro dan kontra sesuatu perkara sebelum melakukannya bak peribahasa tepuk dada tanya selera.



Friday 24 October 2014

PUNCA BERLAKUNYA KES PEMBUANGAN BAYI DI MALAYSIA

Dalam dunia yang dilingkari arus kemodenan ini, tidak dapat dinafikan bahawa masalah sosial turut menghambat masyarakat , secara tidak langsung wujudlah kes pembuangan bayi yang kian meningkat saban hari. Hal ini merupakan satu pembaziran terhadap sumber manusia atau sumber tenaga kerja bagi membangunkan negara kita. Oleh hal yang demikian, masalah ini menyebabkan dasar kependudukan yang diutarakan poleh Mantan Perdana Menteri yang ke-4 iaitu Tun Dr.Mahathir bin Muhammad tidak kesampaian bagi mencapai jumlah penduduk optimum  menjelang 2020. Kes pembuangan bayi umpama penyakit barah yang perlu diatasi dengan segera. Bagi mengatasi masalah ini, pemangkin atau faktor permasalahan yang merobek nilai-nilai kemanusian ini perlu dikaji dengan teliti hingga ke akar umbinya. Kita juga tidak dapat menafikan bahawa, terdapat banyak faktor  yang menjadi punca masalah pembuangan bayi.

         Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa kepincangan keluarga adalah faktor  atau pemangkin utama permasalahan ini. Sesebuah keluarga yang berantakan dan berpecah belah akan menyebabkan anak-anak  dalam keluarga tersebut mencari jalan alternatif bagi melupakan masalah yang dihadapi . Anak-anak tersebut akan terlibat dalam kegiatan-kegiatan seperti pergaulan bebas. Hal ini dikatakan demikian kerana rakan-rakan merupakan insan yang memahami diri mereka dan mereka  mempercayai rakan-rakan mereka melebihi ahli keluarga sendiri. Hal ini memungkinkan hubungan seks diluar nikah terjadi. Setelah berlakunya keterlanjuran, jalan mudah yang akan diambil ialah membuang bayi yang tidak berdosa tersebut sekaligus menolak nilai kemanusiaan yang terdapat dalam diri mereka.

        Faktor lain yang menjadi pemangkin kepada permasalahan ini ialah faktor individu yang kurang penghayatan terhadap amalan dan nilai-nilai keagamaan. Seseorang yang berpegang  teguh kepada rukun-rukun agama tidak akan berani ingkar atau melanggar hukum agama dan sesungguhnya tidak ada agama di dalam dunia yang merelakan umatnya melakukan maksiat dan dosa. Seseorang yang terlibat dalam kes pembuangan bayi ini, tergolong dalam golongan manusia yang kurang pengetahuan tentang keagamaan. Sekiranya seseorang itu sedar dan berpegang teguh kepada ajaran agama maka, tidak akan timbullah masalah pembuangan bayi ini. 

         Sudah terang lagi bersuluh, ternyata bahawa peranan media massa juga menjadi faktor permasalahan ini. Kebanyakan siaran di rangkaian televisyen bersetelit tidak ditapis sepenuhnya oleh oleh pihak berkenaan. Budaya-budaya negatif dari barat dipaparkan dan diserap sepenuhnya oleh golongan remaja di negara kita akibat terpengaruh dengan siaran-siaran yang di tonton di televisyen seperti unsur-unsur seks yang dipaparkan, golongan remaja akan mudah terpengaruh untuk melakukan seks di luar nikah. Apabila telah berlaku keterlanjuaran, jalan penyelesaian yang diambil ialah membuang bayi  tersebut bagi menjaga maruah diri sedangkan maruah diri remaja itu sudah ternodai atau tercalar.

        Remaja adalah golongan yang dikategorikan sebagai golongan yang mempunyai daya inkuiri  yang tinggi. Semangat inkuiri  yang tinggi ini menyebabkan rasa ingin tahu dan mencuba sesuatu sama ada baik mahupun buruk menebal dalam diri remaja. Sebagai contoh, pasangan remaja yang sedang hangat bercinta akan cenderung ingin mencuba perkara yang dilakukan orang  yang sudah berumah tangga lakukan, tanpa berfikir akan kesannya. Apabila nasi sudah menjadi bubur, biasanya golongan remaja ini akan lari dari tanggungjawab dan jalan yang terbaik bagi mereka untuk lari dari tanggungjawab ialah dengan membuang bayi tersebut.

       Selain itu, punca masalah pembuangan bayi ini juga ialah aktiviti pelacuran. Golongan yang terlibat dalam aktiviti ini bertujuan untuk mendapatkan wang dengan masa yang singkat dan lumayan. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan ini  terdesak untuk memperolehi wang bagi menampung perbelanjaan yang melebihi kemampuan. Tambahan lagi,  jika tinggal di kawasan bandar yang sememangnya memerlukan kos sara diri yang tinggi. Hal ini akan menyebabkan golongan ini terlibat dalam masalah pembuangan bayi. Mereka malu hendak memelihara bayi tersebut kerana bayi itu hasil daripada kegiatan pelacuran dan tanpa ikatan yang sah. Bagi menutup malu mereka, bayi tersebut dibuang tanpa sifat belas kasihan.


       Kesimpulannya, masalah ini bukan hanya disebabkan masalah kepincangan keluarga tetapi turut dipengaruhi oleh individu itu sendiri dan pelbagai unsur luaran yang lain. Bagi mengatasi masalah ini, semua pihak haruslah berganding bahu dan bukannya menunding jari kepada satu pihak sahaja. Kerajaan dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama menubuhkan Tabung DNA bagi memudahkan proses mengesan ibu bapa kepada bayi yang dibuang. Di samping itu, masyarakat hendaklah bekerjasama membantu dalam menjayakan usaha ini agar nilai kemanusian dapat dijunjung sekaligus dapat mengelakkan remaja dari terus terjerumus ke dalam lembah kejahilan dan kehinaan ini.






Monday 6 October 2014

LANGKAH-LANGKAH MEMBENTUK SEMANGAT PATRIOTISME

           Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini demikian kerana semuanya sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Mereka berpendapat perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, sebagai contoh, anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan.Oleh hal yang demikian, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

             Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

             Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan erti kata lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

             Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

              Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu menganjurkan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

             Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak  akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

          Kesimpulannya, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negara dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Sekiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

TENTANG DIRIKU....

 
                           Assalamualaikum..
                                                    
Nama : Nur Sobihah Ismail
Asal : Changlun, Kedah
Kerjaya : Pelajar North University Malaysia
Latar Belakang Pendidikan :
                                            - Sekolah Kebangsaan Dato Wan Kemara (2000-2006)
                                           - Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun (2007-2011 SPM)
                                           - Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun (2012-2013 STPM)
                                          - Universiti Utara Malaysia (2014-sekarang)
Hobi : Menonton Televisyen , Bercuti.
Cita-cita : Pensyarah